City menewaskan Wolves 3-0, hari ini, hasil dua jaringan Gabriel Jesus, sebelum Conor Coady menyumbat gol ke gawang sendiri. Wolves terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal minit ke-19, selepas Willy Boly dilayangkan kad merah.

Guardiola sedar juara bertahan itu tidak lagi mampu kehilangan mata, tetapi dalam masa sama dia bimbang para pemainnya terlalu memberi perhatian kepada jadual perlawanan skuad bimbingan Jurgen Klopp dan mula mencongak di mana Liverpool berpotensi melepaskan mata mereka.

“Saya tidak mempunyai bola magik untuk mengetahui berapa banyak mata kami perlukan. Saya berkata kepada pemain agar mereka tidak melihat jadual perlawanan, jangan baca kalendar perlawanan membabitkan Liverpool, lupakan tentangnya.

“Berdasarkan pengalaman saya, apabila ia terjadi anda yang akan tewas. Jadi, selepas itu, semuanya berakhir. Jika Liverpool menang, maka saya akan mengucapkan tahniah kepada Jurgen kerana mereka berhak meraih kejuaraan.

“Apa yang kami boleh lakukan ialah memenangi perlawanan kami. Anda dapat lihat keputusan hebat menentang Wolves, sebab itu, saya ber­puas hati dengan kemenangan ini. Mungkin satu hari nanti, mereka (Liverpool) akan gagal dan kami pula berada di atas. Jika kami tidak menang, mereka akan menjadi juara. Kami tidak boleh kawal apa yang mereka lakukan.

“Kami berjaya mengutip mata menakjubkan, musim lepas. Pungutan mata itu untuk menjadikan anda juara. Apa yang boleh kami lakukan ialah terus berjuang sehingga ke ak­hir saingan,” kata Guardiola.

City telahpun menjaringkan 99 gol dalam semua pertan­dingan dan masih mampu mencipta kemenangan sekalipun Sergio Aguero, Kevin De Bruyne dan Riyad Mahrez berada di bangku simpanan. Guardiola mendakwa, jentera depannya gagal melancarkan serangan dalam kotak penalti dengan penuh kesungguhan. – AGENSI