Bagaimanapun, tindakan Amizal itu sukar diterima kempimpinan skuad Singa Utara yang lain kerana persoalannya, siapa yang mahu bertanggungjawab terhadap isu gaji pemain serta kemelut kewangan yang melanda pasukan itu.

Timbalan Presiden PFA yang menjalankan tugas presiden, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan menegaskan, tindakan Ahmad Amizal yang melepaskan jawatan sebagai presiden berkuat kuasa serta merta tanpa pengetahuan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) tidak boleh diterima.

Katanya, Ahmad Amizal perlu bertanggungjawab menyelesaikan segala tunggakan gaji pemain selaras dengan perjanjian ketika beliau mengambil alih PFA pada Oktober tahun lalu.

“Kita tidak akan lepaskan dia (Ahmad Amizal) selepas apa yang berlaku terhadap Perlis. Dia perlu selesaikan segala tunggakan gaji pemain, jangan sesekali lepas tangan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Amizal mengumumkan melepaskan jawatan sebagai presiden hanya empat bulan selepas menerajui PFA selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk atas desakan penyokong dan rakyat negeri ini.

Keputusan melepas jawatan itu diambil selepas beberapa jam PFA dalam satu kenyataannya memaklumkan mengenai penggantungan jawatan Ahmad Amizal sebagai presiden badan induk bola sepak itu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang pernah membantu sepanjang empat bulan saya sebagai Presiden PFA. Saya memohon sejuta kemaafan kepada para peminat dan penyokong bola sepak Perlis atas kegagalan saya memimpin persatuan bola sepak negeri ini.

“Saya sudah buat yang terbaik demi menaikkan kembali nama Perlis... (Namun) Setakat ini sahaja yang saya mampu. Saya minta maaf sekali lagi,” katanya di sini, hari ini.