Begitu nasib dialami oleh 18 orang pemain Singa Utara yang mendakwa masih belum menerima tunggakan gaji liga musim lepas dan gaji liga musim 2019 seperti dijanjikan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Apa yang menyedihkan, sepanjang tempoh itu, mereka mendakwa terpaksa meneruskan hidup bekerja sebagai nelayan, buruh kasar, cuci kereta dan berniaga kecil-kecilan.

Kesemua mereka berusia 26 hingga 30 tahun itu sepatutnya menerima tunggakan gaji antara empat hingga tujuh bulan.

Ia berdasarkan kontrak yang ditandatangani mereka berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Malam tadi, kesabaran mereka sampai ke penghujungnya apabila tampil mengadakan sidang akhbar bagi menuntut penjelasan pihak pengurusan dan hak mereka, meskipun menyedari risiko yang bakal dihadapi.

Seramai 11 orang daripada mereka hadir, manakala bakinya berada di luar negeri ini.

Berdasarkan kontrak, tunggakan itu akan dibayar bersama gaji pada 7 Januari lalu secara berperingkat-peringkat.

Wakil kumpulan pemain itu, Fahmi Izzarin Mustafa, 24, berkata, kesemua mereka sebelum ini telah menandatangani kontrak mewakili Perlis Northern Lions 2, berkuat kuasa 1 Disember lalu.

"Situasi itu yang menyebabkan para pemain kini dalam dilema kerana tidak boleh bermain dengan pasukan lain, manakala untuk terus kekal dalam pasukan pula, gaji tidak dibayar.

"Lebih menyedihkan, dikatakan kini terdapat pasukan lain yang sudah menggantikan kami untuk mewakili Perlis Northern Lions 2," katanya ketika ditemui.

Fahmi Izzarin memberitahu, para pemain dikehendaki menjalani latihan di ibu negara yang bermula 2 Januari lalu.

Katanya, mereka walau bagaimanapun tidak dapat hadir kerana ketiadaan wang untuk menampung kos perjalanan dan penginapan.

"Pihak pengurusan tidak menyediakan pengangkutan dan penginapan, minta pendahuluan pun tidak dilayan, jadi bagaimana kami hendak turun berlatih," katanya.

Kata Fahmi Izzarin, pemain sudah banyak kali merujuk perkara itu kepada pihak atasan PFA, tetapi Presiden, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie menyatakan ia akan diselesaikan pengurusan.

"Daripada satu tarikh ke satu tarikh, kini sampai bila lagi kami perlu menunggu.

"Mengikut kontrak, tunggakan gaji dan gaji musim baharu akan dibayar pada 27hb sehingga 7hb setiap bulan, tetapi sampai sekarang masih belum dapat," katanya.-UTUSAN ONLINE