Biarpun detik kekalahan 0-1 masih sukar dilupakan, namun skuad negara sudah melakar banyak kejayaan sepanjang tempoh tersebut dengan merangkul pingat emas di Vientiane, Laos pada 2009, sebelum mempertahankannya di Jakarta pada 2011.

Penyerang Malaysia, Safawi Rasid menegaskan, beraksi di depan penyokong sendiri selepas 16 tahun membuatkan skuad bawah 22 (B-22) bimbingan Datuk Ong Kim Swee tidak rela meraih pingat lain, selain daripada emas walaupun lawan yang bakal ditentang di Stadium Shah Alam esok adalah juara bertahan yang juga pemenang emas 16 kali, Thailand.

Tegas Safawi, selain mahu menamatkan dominasi skuad Gajah Perang dalam temasya dwitahunan itu, dia dan rakan-rakannya juga begitu bersemangat untuk memberi pengajaran kepada Thailand agar tidak bongkak.

“Kami tidak perlu risau berjumpa Thailand. Walaupun mereka telah memperkatakan sesuatu yang tidak elok tentang pasukan kami, namun itu tidak penting sebab bagi saya jangan cakap banyak, kita jumpa sahaja di atas padang dan tengok siapa yang menang.

“Paling penting kami nak bunuh semangat Thailand yang sebelum ini pernah cakap Malaysia tidak bagus. Kami mahu hukum mereka,” kata penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu kepada Utusan Malaysia di padang latihan Sime Darby semalam.

Penyerang Thailand, Sittichok Kannoo sebelum ini melancarkan serangan psikologi terhadap Malaysia apabila memberitahu, pasukannya lebih berminat menentang Indonesia dalam final.

Bagaimanapun, pertemuan yang dihajatkan Sittichok tidak menjadi kenyataan selepas Malaysia menyingkirkan Indonesia 1-0 dalam separuh akhir, Sabtu lalu.

Bercakap mengenai pertemuan esok, Safawi berkata, kekalahan 0-3 kepada Thailand dalam Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, bulan lalu juga tidak memberi sebarang makna.

“Bola itu bulat. Kita lawan dulu dan tengok keputusan macam mana,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli mahu memastikan gawang Malaysia tidak dibolosi lagi selepas menunjukkan aksi cemerlang ketika mengetepikan Indonesia 1-0 dalam separuh akhir.

“Bertemu Thailand pasti jauh lebih sukar kerana mereka adalah pasukan pilihan dalam Sukan SEA, jadi sasaran utama saya adalah memastikan gawang tidak dibolosi,” katanya.