Menurutnya, aksi di Old Trafford itu disifatkan seperti pe­main­nya menyepak masuk ke gol sendiri sehingga menyebabkan United terus keciciran mata untuk mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City.

“Kami menjaringkan keempat-empat gol tetapi tidak menang sebaliknya hanya seri 2-2. Walaupun, kami bermain baik tetapi kami juga yang tendang bola ke gawang sendiri. Ada ketika peluang terhidang dengan gawang terbuka, tetapi tetap ter­sa­sar.

“Benteng pertahanan telah melakukan kesilapan, namun, keseluruhan aksi hari ini boleh diterjemahkan dengan semangat yang menakjubkan dan persembahan yang baik,” kata Mourinho dalam nada gurauan apabila dia merujuk gol hasil kesilapan penjaga gol, David de Gea dan Marcus Rojo sebagai hadiah kepada Arsenal.

United yang turun tanpa Paul Pogba dan Romelu Lukaku dalam kesebelasan utama terpaksa dua kali bangkit daripada ketinggalan selepas ‘menjaringkan gol sendiri’ untuk menyamakan kedudukan menerusi Anthony Martial serta Jesse Lingard.

Keputusan seri kali ketiga berturut-turut itu menyaksikan United terus keciciran mata sekaligus ketinggalan 18 mata di belakang City sebagai pendahulu liga.

“Masalah kami sekarang ialah untuk mempamerkan persembahan baik tetapi tanpa melakukan kesilapan sendiri. Apabila berlaku kesilapan, kami selalunya akan dihukum seperti ini,” tambahnya. – AFP