Itu amaran yang diberikan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom kepada pemain Malaysia menjelang separuh akhir kedua Piala AFF di Bangkok esok.

Kata Chatchai, beraksi di depan ribuan penyokong sendiri di Stadium Rajamangala, Bangkok, Gajah Perang bersedia menunjukkan kekuatan sebenar selepas tenggelam ketika seri 0-0, Sabtu lalu.

Thailand dikritik kerana bermain secara bertahan dalam separuh akhir pertama di Bukit Jalil, namun Chatchai yakin situasi sama tidak akan berulang esok.

"Kami adalah Thailand dan esok ibarat perang. Ya, kami telah melakukan kesilapan (separuh akhir pertama) tetapi kami tahu semua penyokong di belakang pasukan.

"Semua pemain menunjukkan dedikasi tinggi terhadap pasukan. Meskipun kami agak kepenatan kerana mengharungi kejohanan yang panjang tetapi sokongan peminat membuatkan kami bersemangat," kata Chatchai dalam sidang akhbar di Bangkok, hari ini.

Kata Chatchai lagi, Thailand, yang turun sebagai juara lima kali bakal menerima kunjungan Harimau Malaya tanpa masalah kecederaan atau penggantungan pemain. - UTUSAN ONLINE