Katanya, dia terpanggil untuk berbuat demikian bagi mengelak perlawanan menjadi lebih panas susulan gelagat import tuan rumah, Igor Zonjic yang tiba-tiba meluru ke arah pemainnya.

Bekas jurulatih kebangsaan ini berkata, tidak pernah dalam sejarah kerjayanya naik angin hingga memasuki padang ketika permainan berlangsung dengan semalam merupakan yang pertama.

“Saya tidak pernah buat dalam karier saya. Saya nampak Igor dalam situasi daripada bawah nak tolak pemain dan sebagainya, saya fikir dalam situasi itu mungkin akan jadi lebih teruk.

“Hanya sebab itulah saya nak pergi beritahu dia kenapa berbuat demikian. Irfan Bakti pun terkejut dalam situasi itu dan selepas permainan beliau meminta maaf kepada saya dan saya okay,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan antara TFC dengan PKNS FC.

Menurut Rajagobal, kekecohan itu timbul kerana skuad Penyu meneruskan permainan ketika ada anak buahnya cedera yang secara tidak langsung mendorong pemain tengah, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali melakukan sesuatu.

Dalam minit ke-69 itu, Muhamad Faizat mengasari Muhamad Khairu Azrin Khazali selepas pemain itu tidak mengeluarkan bola daripada permainan atau ‘fair play’ ketika pemain pelawat, Romel Morales Ramirez terbaring berdekatan kawasan mereka.

Tindakan Muhamad Faizat sekali gus mengundang kemarahan pemain TFC hingga tercetus tolak-menolak antara kedua-dua pasukan namun, berjaya dileraikan pegawai perlawanan dan pasukan.

TFC sudah di ambang kekalahan ketika membuka tirai Liga Super 2019, namun jaringan Abdul Malik Mat Ariff, seminit sebelum tamat permainan menyelamatkan Penyu daripada dimalukan di depan penyokong sendiri selepas seri 1-1 dengan PKNS FC.

Pasukan pelawat yang sememangnya memiliki rekod baik ke atas Terengganu memulakan permainan dengan keyakinan tinggi dan membuka jaringan pada minit ke-65 menerusi Nicholas Ryan Swirad. - UTUSAN ONLINE