Ketika undian dijalankan pada awal Julai lalu, ada kepincangan berlaku apabila dua negara tidak dimasukkan dalam proses pengundian yang dilakukan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INASGOC).

Isu terlepas pandang dua pasukan iaitu Palestin dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika undian tersebut menganggu persiapan pasukan-pasukan yang bakal bertanding dalam temasya 18 Ogos hingga 2 September itu.

“Saya tidak kisah jika penganjur ingin melakukan undian, tiada masalah tetapi mereka kena melakukannya dengan secepat mungkin. Ini kerana setiap pasukan perlu melakukan persiapan dan apabila undian dibuat lewat ia akan merencatkan perancangan pasukan.

“Kita sudah mengaturkan persiapan pasukan yang mana skuad B-23 negara akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang B-23 China pada 2 Ogos dan B-23 Arab Saudi (9 Ogos) dan ini akan mengganggu persiapan pasukan.

“Macam mana kalau kita satu kumpulan dengan mereka (China dan Arab Saudi)? Lagi satu, venue pertandingan pula masih menjadi tanya kerana saya masih belum tahu di mana kita akan beraksi sama ada di Bandung, Jakarta atau lain-lain tempat.

“Undian perlu dilakukan dengan segera supaya tidak timbul banyak persoalan kerana ini semua melibatkan persiapan pasukan,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Pada undian 5 Julai lalu, anak-anak buah Kim Swee diletak dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain dan Republik Kyrgyz. - UTUSAN ONLINE