Danial yang menjadi penjaring gol tunggal kemenangan Malaysia dalam perlawanan di Stadium Kunshan semalam menegaskan, melayakkan diri ke separuh akhir atau mungkin perlawanan akhir bukan perkara mustahil, biarpun pasukan negara langsung tidak diberi harapan ketika tiba di China.

“Sebelum ini kami tidak menetapkan sasaran untuk ke suku akhir bagaimanapun selepas berjaya melakukannya saya fikir kami tidak sepatutnya mensia-siakan peluang yang ada.

“Kalau ada rezeki mungkin kami akan ke separuh akhir dan kemudian ke final sebab saya fikir kita berjaya membuktikan bahawa Malaysia boleh bersaing di peringkat tertinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di hotel penginapan hari ini.

Tambah pemain tengah Felda United itu lagi, dia tidak menganggap dirinya wira walaupun menjaringkan gol kemenangan kerana jaringan tersebut dapat dihasilkan hasil bantuan daripada rakan sepasukan.

Mengulas lanjut mengenai suku akhir, pemain berusia 21 tahun itu berkata dia tidak kisah lawan yang bakal dihadapi kerana sudah membuktikan Malaysia mampu bersaing walaupun diletakkan dalam kumpulan sukar dibarisi Iraq, Jordan dan Arab Saudi.

Skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee yang muncul naib juara Kumpulan C akan turun pada suku akhir di Stadium Kunshan, Sabtu ini menentang juara Kumpulan D yang bakal ditentukan oleh Korea Selatan, Vietnam, Australia dan Syria, malam ini. - UTUSAN ONLINE