Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Nor berkata kenya­taan tersebut tidak relevan kerana empat tokoh yang mahu merebut jawatan No. 1 FAM itu memiliki kelayakan tersendiri.

“Saya lihat keempat-empat tokoh iaitu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim; bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa serta Pengerusi Jawatankuasa Inte­griti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat ada kelayakan.

“Masing-masing ada pengalaman luas dalam bidang sukan. Sebagai contoh Tan Sri Annuar yang telah berjaya membuat perubahan drastik kepada bola sepak Kelantan, begitu juga dengan Tunku Ismail, Khairy serta Tan Sri Aseh.

“Bagi saya tidak adil untuk membuat penilaian awal tanpa memberikan peluang kepada mereka untuk membuktikan kemampuan di peringkat FAM,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Velappan yang menyifatkan tiada seorang pun daripada individu yang mendapat pencalonan bagi merebut kerusi No. 1 FAM layak untuk bertanding.

Ismail memberitahu, FAM perlu dipimpin oleh mereka yang memiliki ‘aura’ dan kuasa untuk menggerakkan badan induk itu ke arah lebih baik.

Katanya, kedua-dua elemen itu mempunyai hubung kait yang akan menjadi pemangkin kepada pemerkasaan FAM.

“Kepimpinan baharu harus dilihat kepada siapa yang mampu membawa tranformasi dengan memacu pasukan negara bersaing di peringkat antarabangsa.

“Bola sepak bukanlah seperti mi segera dengan membeli pemain ternama dan tubuh pasukan serta melalui proses naturalisasi. Tetapi boleh dilakukan menerusi pembangunan akar umbi.

“Pembangunan akar umbi inilah yang akan menjadi pemangkin kepada tranformasi industri bola sepak negara pada masa depan,” ujarnya.