Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, pihaknya akan terus berusaha sedaya upaya untuk memastikan pendaftaran Seydi diluluskan semula oleh badan yang mengurus perjalanan Liga Malaysia (Liga M) itu.

“Kami akan terus berbincang dengan FMLLP mengenai dokumen-dokumen yang perlukan untuk melengkapkan lagi pendaftaran Seydi.

“Lagipun kami daftarkan Seydi dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh FMLLP,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

FMLLP dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook menjelaskan sekatan perpindahan yang dikenakan kepada pasukan Kelantan akan tetap berkuasa kerana Kafa masih gagal memenuhi kriteria yang diperlukan dalam proses pendaftaran untuk sekatan itu dimansuhkan.

Pihak FMLLP juga tidak dapat memberikan kelulusan budi bicara ke atas permintaan pihak Kafa atas sebab perpindahan itu tidak membawa impak yang amat positif kepada kedudukan kewangan pihak Kelantan.

Bagaimanapun, Kafa mampu menarik nafas lega apabila jumlah mata yang dipotong dikurangkan kepada tiga selepas mereka berjaya melengkapkan pendaftaran pasukan dengan mengemukakan pelan pembayaran ke atas gaji yang tertunggak.

Sementara itu, Afandi memberitahu, pihaknya lega dengan keputusan FMLLP memulangkan semula tiga mata yang dipotong ke atas Kelantan sebelum ini.

Tambahnya, Kafa berterima kasih kepada FMLLP kerana sudi mendengar rayuan yang dikemukakan mereka sebelum ini.