Katanya, keputusan me­ngenai perkara itu hanya boleh dibuat oleh jemaah menteri manakala pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan bertindak mengeluarkan arahan kepada pengurusan skuad kebangsaan jika perlu tindakan boikot itu diambil.

“Ini keputusan yang hanya dapat dibuat oleh jemaah menteri. Dalam (mesyuarat kabinet) minggu lepas saya juga telah membangkitkan isu ini. Ada (menteri) yang bertanya mengapa gesaan ini baharu sekarang atau keputusan tidak dibuat lebih awal.

“Dalam hal ini, Myanmar te­lah dipilih sebagai tuan rumah sudah lama. Tetapi (tindakan boikot yang hendak dilakukan) ini berdasarkan kepada laporan yang baru sahaja keluar (mengenai pembersihan etnik Rohingya) daripada Wilayah Rakhine yang merupakan bukti berlakunya serangan terkini.

“Namun demikian sebagai menteri sukan, saya berpandukan kepada keputusan jemaah menteri. Pada hari Jumaat ini sekali lagi ada mesyuarat jemaah menteri dan saya akan membangkitkan perkara yang sama sebab berdasarkan desakan orang awam. Pada minggu lepas saya sendiri yang bangkitkan tetapi pada waktu itu tiada apa-apa keputusan dibuat,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan peserta program MyCorps-Timur Tengah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai me­ngulas gesaan yang dilakukan pelbagai pihak agar skuad bola sepak Malaysia memboikot Piala AFF yang sedang berlangsung di Myanmar ketika ini sebagai tindak balas terhadap kerajaan negara itu melakukan pembersihan etnik Rohingya yang ber­agama Islam dengan kejam.

Sehubungan itu beliau menegaskan, tindakan boikot tersebut perlu dibincangkan lebih lanjut dengan jemaah menteri sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita perlu mendapat pandangan daripada Kementerian Luar dan juga pihak-pihak lain sebelum membuat sebarang keputusan. Ada yang kata ja­ngan campur adukkan politik dengan sukan. Tetapi kalau betul laporan (pembersihan etnik) itu, saya setuju ia perlu diketengahkan kerana ia me­rupakan satu krisis kemanusiaan,” tambahnya.

Untuk rekod, pasukan yang memboikot kejohanan dwitahunan untuk negara-negara Asia Tenggara itu boleh digantung penyertaan selama lima tahun.