Skuad kendalian Mauricio Pochettino kini berada di prestasi terbaik selepas mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan bertemu Manchester United, Liverpool dan Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris, dengan Kane merekodkan jaringan ke-101 di pentas liga.

“Menyekat Kane, dengan saya keseorangan adalah sesuatu yang mustahil. Saya tidak begitu berani dan sombong untuk berfikir saya mampu melakukan keseorangan.

“Saya harap semua pemain dalam Juventus dapat menyekat Tottenham, itu lebih penting. Situasi satu lawan satu adalah penting tetapi seluruh pasukan perlu melakukan yang terbaik bukan hanya Harry Kane seorang tetapi juga empat rakannya (Dele Alli, Christian Eriksen, Son Heung-min) yang bermain di bahagian serangan.

“Kita tidak boleh hanya memikirkan Tottenham hanyalah Kane tapi adalah satu pasukan itu. Mereka tidak akan mampu sampai ke tahap ini secara kebetulan,” kata pemain berusia 33 tahun itu.

Sementara itu, Kane mengakui Chiellini merupakan salah seorang pertahanan terbaik namun dia percaya mereka mampu mengatasi kelab gergasi Itali itu.

“Dia (Chiellini) seorang pertahanan yang menakjubkan. Kali pertama saya menghadapinya ketika bersama pasukan England, lima minit pertama dia memberi cabaran dan menyukarkan pergerakan saya selama 10 minit.

“Kami datang ke sini (Turin) bersama kepercayaan. Perlawanan akan sengit dan saya harap kami mampu meraih keputusan positif untuk pulang ke Wembley,” katanya. -AFP