Pengendali dari Serbia itu yang telah menjadi pembantu Jurgen Klopp selama 17 tahun meminta ‘rehat’ daripada Liverpool sehingga akhir musim dengan memberi alasan masalah peribadi.

Buvac juga tidak menyertai skuad Liverpool yang bertandang ke Stadio Olimpico, Rom untuk perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang AS Roma awal pagi ini.

Semalam, Liverpool mengumumkan Buvac meminta ruang untuk berehat tetapi akan kembali ke Anfield selepas semua urusan selesai.

Begitupun akhbar Serbia, Pravda BL mendakwa, jurulatih berusia 56 tahun itu akan mengambil alih tempat Wenger yang bakal meninggalkan Emirates hujung musim ini selepas 22 tahun membimbing Gunners.

Pravda BL juga adalah akhbar yang sebelum ini mendedahkan, Buvac atau jolokannya ‘The Brain’ bakal menyertai Liverpool pada 2015.

Sementara itu, media Britain me­laporkan, Klopp tidak seceria seperti biasa ketika mengendalikan latihan pasukannya menjelang pertemuan dengan Roma.

Jika jurulatih dari Jerman itu selama ini terkenal dengan sikap periang dan suka tersenyum setiap wajah­nya menjadi tumpuan lensa ka­mera media, namun situasi berbeza malam tadi.

Klopp tidak bergurau senda se­perti kebiasaan, malah suaranya kedengaran agak lantang ketika mengendalikan sesi latihan di Stadio O­limpico, Rom. – AGENSI