Menjelang pertemuan di Stadium Delta Sidoarjo, Surabaya esok pengendali skuad Indonesia, Fakhri Husaini menasihatkan penyokong tuan rumah agar ha­dir dengan semangat kesukanan tinggi.

Indonesia juga mengambil inisiatif untuk meredakan ketega­ngan dengan mengundang skuad Malaysia makan tengah hari bersama beberapa pemain negara itu hari ini dalam majlis yang turut disertai oleh media tempatan.

Selain Fakhri dan beberapa pemain tuan rumah, jurulatih skuad negara Raja Azlan Shah Raja So’ib serta anggota pasukan negara turut menghadiri majlis berkenaan.

“Kami mengharapkan sokongan dan doa penyokong Indonesia, namun kami juga tidak mahu kejohanan ini dicemari. Sokonglah kami dengan sema­ngat kesukanan agar kami boleh mencatat keputusan terbaik. Ini pertandingan bola sepak peringkat umur bawah 16 tahun, bukan senior.

“Anak-anak ini adalah aset masa depan bola sepak yang harus dijaga. Saya menyeru kepada penonton agar dapat menghargai pasukan kita, pasukan lawan dan penyokong yang lain, sama ada sebelum, ketika dan selepas perlawanan.

“Jangan sampai kreativiti dan perkara positif lain yang telah mereka lakukan sebelum ini tercalar gara-gara tindakan sesete­ngah pihak yang mampu merugikan semua orang, atau lebih buruk lagi sehingga Indonesia dikenakan tindakan oleh AFC (Konfederasi Bola Sepak) dan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa),” kata Fakhri dalam pertemuan itu.

Pada 12 Julai lalu, skuad bawah 19 tahun (B-19) Malaysia berdepan detik cemas dalam Kejohanan B-19 AFF apabila diba­ling dengan objek keras oleh penyokong Indonesia yang tidak berpuas hati dengan kekalahan pasukan mereka di Stadium Delta Sidoarjo.

Pada 30 Julai lalu, penyokong Indonesia ‘menyerang’ pasukan negara dengan menggelar Malaysia sebagai ‘anjing’ ketika anak-anak buah Raja Azlan Shah berdepan Thailand dalam aksi pembukaan Piala AFF B-16.

Perbuatan itu mengundang bantahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menghantar surat bantahan rasmi kepada AFC dan AFF.

Perlawanan separuh akhir Indonesia dan Malaysia esok bakal berlangsung pada pukul 8 malam waktu Malaysia.