Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, integriti itu melibatkan pasukan lawan dan setiap pegawai perlawanan terutama pengadil di sekitar padang yang perlu dilindungi.

Beliau diminta mengulas mengenai satu klip video yang tular menerusi laman sosial, semalam, apabila jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengeluarkan kata-kata kesat sebaik perlawanan antara Melaka United dan Tok Gajah berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Hang Jebat, semalam. Bagaimanapun, kata-kata kesat itu tidak pula diketahui ditujukan kepada siapa.

“Memang boleh dikenakan tindakan (tetapi) Jawatankuasa Tatatertib FAM sedang meneliti video insiden itu yang berlangsung tiga saat. Kami perlu tahu apa berlaku sebelum dan selepas itu dan apa niat serta sebab terjadi.

“Kadang-kadang kamera berada di tempat yang tidak sepatutnya dan ada perkataan yang tidak sepatutnya disebut ‘tertangkap’ atau mungkin hanya disebut sesama sendiri (jurulatih dan rakan pegawai pasukan) tetapi masih menjadi tanggungjawab jurulatih serta pasukannya.

“FAM hanya akan mengambil tindakan yang munasabah sekiranya kata-kata kesat jurulatih itu memang ditujukan kepada pasukan lawan atau pegawai perlawanan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin serta Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Rosmadi Ismail.

Bercakap pula tentang dakwaan dalam media sosial berlakunya unsur ‘jual per­lawa­nan’ dalam Liga Per­dana antara Johor Darul Ta’zim II dan Perlis di Pasir Gudang, Jumaat lalu, Stuart berkata, tiada laporan atau bukti rasmi yang FAM terima setakat ini untuk membolehkan pihaknya bertindak dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Kita tidak boleh hanya tuding jari kepada kesilapan pemain dalam perlawanan itu yang kadang-kadang memang boleh terjadi,” katanya.