Skuad muda negara tewas kepada Jepun menerusi sepakan penalti pada penghujung perlawanan di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi, dekat sini selepas mengasak kubu lawan bertubi-tubi sepanjang kira-kira 20 minit baki permainan.

Atas dasar itu, Kim Swee percaya barisan pemainnya telah beraksi dengan baik tetapi mengakui kegagalan menyudahkan peluang terhidang menjadi punca utama mereka tersingkir.

“Saya tidak boleh meminta pemain memberikan aksi yang lebih baik kerana mereka telah mencurahkan tenaga sepenuhnya di tengah padang sehingga membolehkan pasukan memberi kesukaran kepada Jepun hingga ke minit ke-85.

“Namun, beberapa kesilapan yang dilakukan selain kegagalan menyudahkan peluang terhidang menjadi punca pasukan tersingkir tetapi kita harus akui Jepun merupakan pasukan yang lebih baik meskipun mereka diwakili sepenuhnya oleh skuad bawah 21 (B-21).

“Apa yang pasti, temasya kali ini membuktikan bahawa jurang skuad muda Malaysia dengan pasukan-pasukan kuat seperti Jepun dan Korea Selatan sudah tidak terlalu ketara,” katanya.

Kim Swee juga enggan menyalahkan tonggak pertahanan Dominic Tan selepas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjatuhkan Ayase Ueda dan memberikan sepakan penalti kepada Jepun untuk gol kemenangan.

“Saya tidak akan menyalahkan mana-mana pemain termasuk Dominic yang berada dalam situasi untuk menyelamatkan gawang negara daripada dibolosi.

“Saya anggap dia antara pemain paling konsisten sepanjang temasya kali ini dan saya percaya dia akan menjadikan perkara tersebut sebagai iktibar untuk beraksi lebih cemerlang kerana dia masih muda dan memiliki masa depan yang cerah,” katanya. – UTUSAN