Disampaikan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, setiap pemain termasuk jurulatih, Mohd . Nidzam Adzha Yusoff menerima ganjaran sebanyak RM20,000 di atas kecemerlangan ditunjukkan pasukan.

Terdahulu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dalam ucapannya menyifatkan kejayaan demi kejayaan dicapai Lang Merah menjadi bukti betapa kejayaan sesebuah pasukan tidak hanya mampu dicapai berdasarkan kewangan mewah sebaliknya turut bergantung kepada iltizam pihak pengurusan serta semangat pemain yang sentiasa menunjukkan watak sang juara di padang.

"Ketika ini rata-rata pemain pasukan kita terdiri daripada anak jati Kedah. Itu menjadi bukti bahawa program pembangunan akar umbi kita berada di landasan yang betul.

"Baru-baru ini menerusi kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan, kita mewujudkan pula Akademi Datuk Ahmad Basri (ADAB). Itu adalah bukti bahawa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) serius untuk membina  legasi masa depan pasukan bola sepak negeri," katanya.

Pada majlis itu, Pengurus Lang Merah, Datuk Jeffrey Low Hang Chow bersama kapten, Khairul Helmi Johari mengetuai seluruh pemain dan pengurusan pasukan untuk mempersembahkan piala tersebut kepada Tuanku Abdul Halim serta Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah. - UTUSAN ONLINE