Tuan rumah dikejutkan dengan gol pembukaan pelawat seawal minit pertama selas Mohd. Arif Mat Asin membuat tolakan bola mudah untuk menewaskan penjaga gol, Mohd. Farizal Harun.

Belum sempat tuan rumah memperkemaskan rentak permainan, Mohd. Arif sekali lagi merobek gawang skuad The Fighters bagi membolehkan pelawat mendahului 2-0.

Jaringan tersebut tidak melemahkan semangat pemain tuan rumah dan mereka terus melakukan beberapa serangan balas sehingga dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-35 apabila bola tendangan Wan Zack Haikal Wan Nor terkena tangan Muhammad Amer Syafeeq Aziz.

Penyerang sensasi Felda United, Thiago Augusto tidak mensia-siakan peluang itu untuk tuan merapatkan kedudukan jaringan.

Bersambung babak kedua, tuan rumah mula menguasai permainan dan mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51 selepas Gilberto Fortunato dengan tenang menyudahkan bola hantaran Augusto.

Pelawat mempunyai peluang keemasan untuk kembali berada di hadapan namun ketangkasan Mohd. Farizal berjaya menepis keluar rembatan daripada Petrisor Voinea.

Mohd Farizal sekali lagi bertindak cemerlang apabila berjaya menampan rembatan Shunsuke Nakatake pada minit ke-86.

Wan Zack hampir memastikan tuan rumah mengutip tiga mata namun rembatannya sedikit tersasar ke sebelah kanan pintu gol yang dikawal oleh Mohd. Sheril Anuar Sani dan perlawanan berkesudahan dengan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata. - UTUSAN ONLINE