Beliau berkata, demikian kerana mengambil kira prestasi kelima-lima pasukan tersebut yang dianggap konsisten ketika aksi kelayakan dan juga dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum mereka turun menghadapi Piala Dunia di Rusia.

“Jerman, Sepanyol, Perancis, Brazil dan Argentina akan melangkah lebih jauh daripada peringkat kumpulan.

“Kita dapat lihat Jerman merupakan pasukan paling konsisten bukan sahaja dalam aksi Piala Dunia, malah dalam Euro juga mereka sentiasa beraksi cukup baik. Saya tidak nampak mereka mempunyai halangan besar untuk layak separuh akhir dan kemungkinan ke peringkat akhir.

“Saya tiada pasukan pilihan tetapi saya lebih suka untuk melihat Sepanyol berada di pentas akhir selepas menghadapi kegagalan empat tahun lalu di Piala Dunia Brazil dan juga dua tahun lalu dalam saingan Euro,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kim Swee antara tiga panel bersama legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh dan pengkritik sukan, Rizal Hashim yang membincangkan topik bertajuk Rusia 2018: Di Mana Malaysia? dalam Forum Piala Dunia Rusia 2018.

Forum tersebut dianjurkan Utusan Malaysia dengan kerjasama penaja iaitu Farmasia Sdn. Bhd., Atroxene, Fleur, Great Creation Event, Mak Ngah Catering dan Segi Seri Sdn. Bhd.

Mengulas mengenai peluang pasukan daripada Asia seperti Korea Selatan, Australia dan Japan untuk melangkah lebih jauh, Kim Swee mengakui perkara itu bukan sesuatu yang mustahil kerana dalam setiap penganjuran Piala Dunia semestinya mempunyai elemen kejutan.

“Peluang pasukan Asia, saya tidak pasti sejauh mana mereka mampu melangkah tetapi saya tetap mengharapkan mereka mampu melakukan kejutan untuk melangkah lebih jauh,” ujarnya.