Jordan merupakan antara pasu­kan pilihan untuk meneruskan kemaraan dari Kumpulan C, namun kini tertekan akibat seri 1-1 dengan Malaysia dalam perlawanan kedua masing-masing di peringkat awal. Jordan sebelum ini seri dengan Arab Saudi dan kini perlu menang ke atas Iraq untuk mengetahui nasib mereka.

Jordan terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Ward Helal Khalid Al pada minit ke-16 namun penyerang Malaysia, Safawi Rasid berjaya memadam ke­lebihan tersebut apabila meledak gol penyamaan menerusi sepakan penalti pada minit ke-43.

Pengendali dari England itu mengakui kehebatan yang ditunjukkan oleh anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee apabila mereka tidak dapat menyerang kubu Malaysia terutamanya pada separuh masa kedua.

“Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang dalam perlawanan ini dan saya fikir kami patut menang dengan pe­nguasaan bola yang kami lakukan namun kami tidak berjaya menambah jaringan.

“Saya tidak boleh menafikan peluang yang dicipta oleh Malaysia dan saya fikir kami tidak menang kerana persembahan kami pada babak kedua walaupun pada separuh masa pertama kami bermain dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Mengulas lanjut mengenai penalti yang diberikan oleh pengadil perlawanan Ko Hyung-jin kepada Malaysia, Brunskill me­ngakui berpunca daripada kesilapan pemainnya sendiri.

“Memang kami buat silap. Pemain tengah saya tidak menghalang hantaran yang dilakukan oleh pemain Malaysia dan berpunca daripada itu pertahanan saya mengasari pemain lawan. Akibatnya lawan diberikan penalti,” katanya. – MINGGUAN