Namun, itulah yang dilakukan Perak apabila memilih untuk tidak memaparkan logo penaja, sebaliknya membawa mesej 'Save Water' (Jimat Air) dan 'Quit Smoking' (Berhenti Merokok) apabila menghadapi Liga Malaysia (Liga M) 2019.

Penyokong skuad Bos Gaurus pasti tidak sabar untuk me­nunggu jersi itu dilancarkan, Sabtu ini, apatah lagi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan ia sebagai jersi terbaik ditampilkan Perak.

Ahmad Faizal yang juga Pre­siden Persa­tuan Bola Sepak Perak (Pafa) turut menjelaskan, mesej dalam bahasa Inggeris tidak bermakna mereka tidak mendaulatkan bahasa Melayu.

Sebaliknya, ia selari dengan Bos Gaurus yang bakal beraksi di peringkat antarabangsa iaitu kelayakan Liga Juara-Juara Asia.

"Alhamdulillah, semua penaja kita menyumbang dengan penuh ikhlas demi menaik taraf sukan bola sepak Perak.

“Saya telah bercakap dengan mereka mengenai perkara ini dan semua bersetuju supaya nama-nama penaja tidak dipaparkan pada jersi.

“Sebaliknya kita letak 'Save Water' dan 'Quit Smoking' untuk kita tunjuk kepada peminat bola sepak Asia bahawa orang Perak membawa mesej yang baik.

“Orang Perak bersukan sambil berkasih sayang, kita cintakan bangsa kita," katanya selepas bersiaran di Pe­rak FM di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.

Biasanya, nilai tajaan bahagian depan jersi adalah paling mahal.

Bagi Liga M, ia dianggar sekitar RM1 juta hingga RM3 juta semusim bergantung kepada pasukan.

Perak yang memegang reputasi selaku juara Piala Malaysia, selain bakal beraksi dalam Liga Juara-Juara pasti mempunyai nilai yang besar.

Barcelona sebelum ini pernah menolak untuk meletakkan sebarang logo penaja di bahagian depan jersi mereka, sebalik­nya diganti dengan Unicef iaitu Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.