Skuad Die Mannschaft juga tiba di Rusia sebagai pilihan untuk mempertahankan kejuaraan kerana memegang status sebagai pasukan No. 1 dunia dan membariskan barisan pemain paling berpengalaman.

#1 JERMAN (86 penampilan)

TIADA pasukan lain, selain Jerman yang lebih konsisten dalam Piala Dunia pada abad ke-21.

Skuad Die Mannschaft menamatkan saingan sebagai naib juara pada 2002, ketiga (2006 dan 2010) sebelum muncul juara 2014.

Kejayaan itu hasil pelan jangka panjang yang disusun selepas mengalami kemerosotan pada 90-an. Mereka mengembangkan gaya permainan dengan pemain muda dilatih untuk memenangi Piala Dunia di Brazil, empat tahun lalu.

Mesut Ozil dan Thomas Muller (90 penampilan) adalah pemain paling berpengalaman yang bakal dibawa ke Rusia. Toni Kroos, Manuel Neuer, Sami Khedira dan Jerome Boateng antara yang akan membuat penampilan ketiga dalam Piala Dunia.

Jika diperhatikan, keseluruhan tulang belakang Jerman meliputi depan dan belakang, masing-masing mempunyai pengalaman beraksi di peringkat tertinggi dan kompetetif. Ia antara sebab mereka begitu berjaya.

Purata usia pemain Jerman adalah 27 tahun, 50 hari - antara pasukan termuda di Rusia.

Persoalannya, adakah 
mereka mampu muncul 
pasukan kedua berjaya mempertahankan 
kejuaraan selepas Brazil (1962), sekali gus menyamai rekod muncul juara terbanyak 
dengan lima trofi.

#2 ARGENTINA 
(76 penampilan)

MELIHAT kepada barisan pemain dan rekod Argentina dalam Piala Dunia, mereka sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk ke peringkat kali mati.

Pada 2016 dan 2010, skuad La Albiceleste mara ke suku akhir, manakala pada 2014 mereka muncul naib juara selepas kalah 0-1 kepada Jerman.

Argentina perlu memanfaatkan Lionel Messi, pemain yang telah meraih pelbagai anugerah bersama Barcelona tetapi jarang bernasib baik bersama skuad kebangsaan.

Messi kalah tiga kali berturut-turut di pentas final kejohanan utama - satu dalam Piala Dunia dan dua Copa America.

Penyerang berusia 30 tahun itu akan beraksi buat kali keempat pada Piala Dunia bersama tonggak pertahanan, Javier Mascherano.

Angel Di Maria, Sergio Aguero dan Gonzalo Higuain pula bakal membuat penampilan ketiga, sekali gus menjadikan skuad Argentina sarat dengan pengalaman.

#3 MEXICO (70 penampilan)

MEXICO telah hadir dalam kancah Piala Dunia sejak 90-an lagi, dan mereka antara pasukan yang jarang gagal melepasi peringkat kumpulan.

Begitupun, skuad El Tri tidak pernah melayakkan diri ke suku akhir sejak kali terakhir melakukannya pada 1986, iaitu pencapaian terbaik mereka dalam Piala Dunia.

Biarpun tidak dianggap pilihan, namun barisan berpengalaman yang dibawa Mexico ke Rusia meletakkan mereka sebagai pasukan yang perlu diberi perhatian.

Tonggak pertahanan berusia 39 tahun, Rafael Marquez bakal membuat penampilan kelima Piala Dunia, manakala ketua pasukan, Andres Guardado akan beraksi buat kali keempat. Kedua-dua pemain telah beraksi 144 kali bersama skuad kebangsaan.

Dua pemain lain yang telah membuat lebih 100 penampilan adalah bintang tengah, Giovani dos Santos dan penyerang Javier ‘Chicharito’ Hernandez.

Pengalaman penjaga gol, Guillermo Ochoa serta pertahanan, Hector Moreno turut menjadi kekuatan utama Mexico kali ini.

#4 URUGUAY (66 penampilan)

URUGUAY sering tampil dalam Piala Dunia sebagai kuda hitam

Sekalipun negara kecil dari Amerika Selatan itu hanya memiliki 4 juta penduduk, namun ia tidak menghalang mereka melaksanakan pembangunan bola sepak dengan baik sehingga mampu mengeluarkan produk bertaraf dunia.

Pada 2006, skuad La Celeste gagal ke Piala Dunia di Jerman tetapi kemunculan semula pada 2010 dan 2014 berakhir dengan cemerlang apabila berjaya melepasi peringkat kumpulan.

Juara dunia dua kali itu (1930 dan 1950) menamatkan kempen di tempat keempat pada 2010, namun pada edisi 2014 mereka tersingkir di peringkat 16 terakhir.

Uruguay juga mempunyai empat pemain yang telah membuat lebih daripada 100 penampilan.

Pertahanan, Maxi Pereira dan kapten Diego Godin adalah pemain paling berpengalaman dalam kempen kali ini, selain Cristian Rodriguez (tengah) dan Edinson Cavani (penyerang).

Luis Suarez (97) juga bakal mencatat penampilan ke-100 jika beraksi penuh dalam peringkat kumpulan.

Pemain berpengalaman lain adalah penjaga gol, Fernando Muslera dan pertahanan Fernando Muslera.

#5 SEPANYOL (55 penampilan)

JUARA dunia 2010, Sepanyol masih menjadi pilihan untuk menjuarai kejohanan berprestij itu.

Empat pemain skuad La Roja telah bermain dalam lebih 100 perlawanan antarabangsa dengan kapten, Sergio Ramos muncul pemain paling berpengalaman.

Pertahanan Real Madrid itu memiliki 150 cap bersama Sepanyol.

Ramos akan bermain dalam Piala Dunia buat kali keempat selepas membuat kemunculan sulung pada 2006.

Pemain berpengalaman lain termasuk Andres Iniesta yang turut beraksi buat kali keempat, selain David Silva.

Gerard Pique yang telah membuat 97 penampilan juga antara nama besar yang menjadi sandaran Sepanyol.

Seramai 23 pemain yang dipilih jurulatih, Julen Lopetegui secara purata berusia 28 tahun dan 178 hari (pada hari pertama Piala Dunia dimainkan).

Bermakna, Sepanyol pasukan lebih tua berbanding Jerman dan Perancis, tetapi lebih muda daripada Brazil.