TONI KROOS hampir pasti mengemudi bahagian tengah Jerman dalam Euro 2016 di Perancis.

Walaupun jurulatih Joachim Loew mengekalkan barisan yang memenangi Piala Dunia keempat untuk Jerman, namun dia perlu membentuk kembali pasukannya untuk Euro dalam usaha merampas trofi daripada juara bertahan dua kali berturut-turut Sepanyol.

Dalam masa sama, pengurus itu juga perlu memberi ruang kepada pemain muda seperti pemain berbakat namun dipinggirkan Joshua Kimmich serta Julian Weigl dan ramai lagi, bagi menjadikan barisan skuadnya lebih kompetitif.

“Kami yakin, namun tidak bermakna kami sombong. Kami kuat, tetapi tidak bermakna kami kebal,” kata Loew menjelang kem latihan di Itali.

Bagaimanapun, apa yang memeningkan kepala pengurus itu adalah benteng pertahanannya yang tidak konsisten dan kurang berwaspada semasa beraksi dalam pusingan kelayakan.

Jerman bolos lima gol dalam empat perlawanan terakhir selain hambar pada penghujung perlawanan.

Bek tengah Jerome Boateng telah pulang ke Bayern Munich selepas lebih tiga bulan mengalami kecederaan. Rakan sepasukannya Benedikt Hoewedes turut terlepas banyak perlawanan musim ini kerana cedera dan kembali cergas hanya beberapa minggu lepas bersama Schalke.

Loew turut bimbang dengan keadaan kapten Bastian Schweinsteiger yang berpotensi untuk mengalami kecederaan, serta seorang lagi pemain tengah Ilkay Guendogan yang disingkirkan kerana masalah lutut.

“Kecederaan ini mencetuskan kebimbangan kepada diri saya. Anda mempunyai pelbagai masalah menjelang perlawanan, tetapi saya sangat berharap kami akan kekal cergas dan mereka yang tercedera sudah pulih kembali,” katanya. – REUTERS