Kejayaan menewaskan Arab Saudi 2-1 di laman sendiri hari ini sebelum berlepas ke Rusia amat diharapkan oleh Jerman yang sebelum ini gagal mempamerkan konsistensi dalam permainan.

Walau bagaimanapun, selain gol Werner, Jerman menang atas sumbangan gol sendiri pemain Arab Saudi, Omar Hawsawi manakala gol tunggal pasukan pelawat dijaringkan Taisir Al-Jassim yang menyambar bola muntah hasil sepakan penalti pada penghujung permainan.

“Tiada istilah pasukan kerdil buat masa ini dan kami pula tidak bermain baik di beberapa posisi. Kami melepaskan peluang menerusi serangan balas. Kelemahan agak besar tetapi kami ada seminggu untuk memperbaikinya. Jadi tidak perlu bimbang,” kata pemain sayap Jerman, Marco Reus.

Tewas kepada Austria 1-2 Sabtu lalu, Jerman menurun­kan barisan terbaiknya dengan Reus dan Sami Khedira menyaksikan percubaan mereka terkena tiang gol.

Dengan Manuel Neuer menga­wal gawang, Arab Saudi terkial-kial pada awal permainan sehingga membolehkan Werner menja­ringkan gol seawal minit kelapan hasil kerjasama dengan Joshua Kimmich dan Reus.

Werner sekali lagi terbabit untuk gol kedua Jerman pada penghujung babak pertama apabila hantarannya kepada Thomas Mueller cuba ditampan Hawsawi tetapi bola bergolek ke gawang sendiri.

Jurulatih Jerman, Joachim Loew membuat beberapa pertukaran dengan menggantikan Neuer, Reus dan Jerome Boateng sekali gus memberi ruang kepada Arab Saudi untuk bernafas. – AFP