"Kami mohon maaf kerana mengumumkan bahawa Jepun tidak boleh menyertai Copa America 2011 di Argentina,'' kata kenyataan yang dihantar oleh Persatuan Bola Sepak Jepun kepada AFA.

Sebelum ini, Jepun merancang untuk menyertai kejohanan bola sepak di Amerika Selatan itu malah mereka juga dijemput untuk beraksi selepas bencana alam yang melanda Jepun.

Sungguhpun Jepun sebelum ini membuat keputusan untuk menyertai namun mereka terpaksa berhadapan masalah apabila terdapat beberapa pasukan di Eropah yang sukar untuk melepaskan pemain Jepun mereka kerana musim baru yang bakal bermula.

Dalam Copa America kali ini, Jepun diundi dalam kumpulan A bersama tuan rumah Argentina, Colombia dan Bolivia.

Sementara itu, jurucakap Persekutuan Bola Sepak Amerika Selatan Nestor Benitez berkata, pengganti Jepun akan diputuskan secepat mungkin.

"Saya tidak boleh mengumumkan nama calon yang akan menggantikan Jepun kerana ia akan mencetuskan spekulasi.

"Kami harus menunggu sehingga keputusan akhir yang mana ia tidak akan mengambil masa yang lama," katanya.

Jemputan mungkin akan dikemukakan kepada anggota CONMEBOL iaitu Costa Rica.

Costa Rica sememangnya telah meminta untuk menyertai kejohanan tersebut, setelah mendapati Jepun sukar untuk membentuk skuad yang mantap. - Agensi