Bagaimanapun, cabaran ­Pia­la AFF B-22 yang kali pertama dianjurkan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pasti menghadirkan situasi berbeza berbanding empat tahun lalu.

Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan B bersama Kemboja, Indonesia dan Myanmar dilihat berdepan cabaran sengit untuk layak ke peringkat seterusnya.

Penyerang PKNS FC itu juga mengakui, kelemahan di bahagian tengah yang kurang kreatif dan agresif perlu dipertingkatkan dengan segera.

“Apa yang saya nampak pada perlawanan persahabatan terakhir menentang NPNG semalam, semua sudah mula serasi dan faham antara satu sama lain.

“Bagaimanapun kelemahan ketara adalah bahagian tengah dan saya harap perkara itu dapat dipertingkatkan segera.

“Dulu semasa Piala AFF B-19 saya berada dalam senarai penjaring terbanyak dan saya mahu ulangi semula pencapaian itu.

“Muncul penja­ring terbanyak kejohanan adalah sasaran peribadi saya,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Phnom Penh, Kemboja.

Mengulas mengenai persiapan menghadapi kejohanan tersebut, Jefri mengakui sudah bersedia sepenuhnya.

“Daripada segi mental dan fizikal saya sudah cukup bersedia. Untuk perlawanan pertama bertemu Kemboja, ia amat penting buat kita meraih tiga mata namun harus berwaspada dengan kekuatan tuan rumah,” ujarnya.

Sementara itu, pengendali pasukan negara B-23, Datuk Ong Kim Swee tidak memandang rendah keupayaan Kemboja, di samping mengakui pasukan-pasukan Asia Tenggara telah menunjukkan peningkatan yang baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya tidak fikir perlawanan mudah untuk kami. Kemboja mempunyai banyak kelebihan berbanding pasukan negara, mereka bermain di laman sendiri, melakukan persiapan rapi dan mendapat sokongan penyokong yang padu.

“Dalam beberapa tahun sebelum ini saya rasa perkemba­ngan pasukan-pasukan di Asia Tenggara terutama skuad muda menunjukkan peningkatan yang begitu baik.

“Kejohanan ini platform terbaik untuk semua pasukan mempersiapkan diri menghadapi kelayakan Piala AFF B-23 Mac ini,” jelasnya.

Malaysia akan memulakan kempen dengan menentang Kemboja, Isnin ini, sebelum bertemu Indonesia (20 Februari) dan Myanmar pada 22 Fe­bruari.