Skuad Harimau Selatan bagaimanapun tidak memberi laluan mudah kepada naib juara Liga 1 Korea Selatan (Liga K1) 2019 itu apabila hanya membenarkan gawang mereka dibolosi pada lewat separuh masa kedua.

Beraksi di depan penyokong sendiri di Stadium Bola Sepak Changwon, Gyeongnam terpaksa menunggu sehingga minit ke-65 untuk membuka jaringan menerusi penyerang kelahiran Belanda, Luc Castaignos.

Empat minit memasuki waktu kecederaan, pasukan tuan rumah menggandakan kedudukan 2-0 menerusi penyerang muda Jepun, Takahiro Kunimoto.

Kemenangan tersebut bagaimanapun tidak cukup untuk membawa Gyeongnam melangkah ke peringkat kalah mati apabila menamatkan Kumpulan E di tangga ketiga dengan lapan mata.

Kelab China, Shandong Luneng dan juara bertahan, Kashima Antlers masing-masing meneruskan kemaraan selaku dua pasukan terbaik dengan mengumpul 11 serta 10 mata.

Bagi JDT, biarpun gagal melangkah jauh, penampilan sulung mereka di pentas ACL dianggap memberangsangkan apabila mencatat satu kemenangan (menewaskan Kashima 1-0), selain mengikat Gyeongnam 2-2 dalam aksi pertama kedua-dua.

Empat lagi kekalahan yang diterima Harimau Selatan juga berlangsung dalam perlawanan sengit, sekali gus menjanjikan masa depan cerah buat juara Liga Super lima kali berturut-turut itu. - UTUSAN ONLINE