Terbaharu pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima kunjungan wakil kerajaan Turki diketuai Dutanya, Basak Turkoglu di Istana Bukit Pelangi di sini, semalam.

Basak yang turut mewakili Netas, sebuah syarikat terbesar dalam bidang teknologi di negara itu menyatakan minat untuk melabur bersama-sama kelab JDT dan juga di negeri ini.

Perkembangan itu diumumkan kelab JDT menerusi satu kenyataan terbaharu dalam akaun Facebook miliknya, Johor Southern Tigers (JST) termasuk memuat naik beberapa foto pertemuan tersebut.

Menurut status terbaharu berkenaan, Tunku Ismail dipelawa ke Turki untuk berkolaberasi dengan kelab-kelab bola sepak di negara tersebut.

Bukan itu sahaja, semalam juga, syarikat jam tangan terkemuka jenama antarabangsa, Hublot turut menyatakan minat menaja JDT dan perkara itu dinyatakan semasa wakil syarikat berkenaan bertemu Tunku Ismail di istana berkenaan.

"Keinginan syarikat global dan antarabangsa itu bekerjasama merupakan satu lagi

pengiktirafan tertinggi buat JDT. Ini meletakkan kelab ini berada di kelasnya tersendiri apabila berjaya menarik minat penaja-penaja luar untuk memberi penajaan kepada JDT.

"Ini menunjukkan Kelab Bolasepak JDT merupakan satu-satunya pasukan dalam negara yang mendapat banyak perhatian jenama antarabangsa,” demikian dipetik daripada FB tersebut.

Kelmarin menerusi Facebook yang sama, Presiden Santos FC, Modesto Roma Junior menyatakan keinginan bekerjasama dengan JDT dan menghantar jemputan kepada Tunku Ismail bagi melawat kelab tersebut di Sao Paolo, Brazil.

JDT juga sebelum ini sudah mengadakan kerjasama dengan kelab Bundesliga Jerman, Borussia

Dortmund dan kelab La Liga Sepanyol, Valencia CF. - UTUSAN ONLINE