JDT sudah pun mendakap dua trofi musim ini iaitu Piala Sumbangsih sewaktu menewaskan Selangor pada Januari dan terbaharu, memenangi Piala FA setelah menumpaskan PKNS FC 2-1 di Stadium Shah Alam semalam.

Pengendali Harimau Selatan, Mario Gomez berkata, pasukannya menyasarkan empat trofi musim ini dan dua daripadanya telah diraih, manakala dua lagi bakal menyusul membuatkan JDT.

“Musim ini kami ada empat sasaran yang perlu dilaksanakan. Dua sasaran kami sudah direalisasikan iaitu Piala Sumbangsih dan Piala FA. Sekarang kami mahu fokus kepada dua lagi misi iaitu Liga Super serta mempertahankan Piala AFC.

“Bagaimanapun sekarang kami mahu berseronok dulu, kami mahu meraikan kejayaan ini (menjuarai Piala FA).

“Esok kami akan bercakap mengenai perlawanan menentang Pahang dalam aksi Liga Super (Rabu ini),” katanya.

Mengulas mengenai kejayaan­nya membantu JDT meraih lima trofi tidak sampai dua tahun selepas membimbing pasukan itu, Gomez berkata: “Ia bukan perkara mudah untuk dilakukan. Apa yang penting adalah saya mempunyai pemain yang bagus.”

Sementara itu, kapten JDT, Safiq Rahim turut memasang misi besar apabila meletakkan sasaran peribadiuntuk beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL) sebelum menamatkan kariersebagai pemain bola sepak profesional.

“Ini kemenangan Piala FA pertama saya. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana JDT dapat menjuarai Piala FA kali ini. Bagi pencapaian individu ini merupakan peluang terbaik saya untuk menambah koleksi peribadi.

“Kami tidak akan berhenti di sini kerana kami mencipta sejarah di masa akan datang. Saya fikir kami juga tidak perlu menoleh ke belakang kerana kami perlu terus memandang ke hadapan.

“Secara keseluruhannya, saya masih belum mencapai tahap yang baik. Saya perlu belajar lagi dengan menimba ilmu daripada pemain JDT serta barisan kejurulatihan.

“Saya tidak boleh berhenti di sini kerana saya mahukan kejayaan pada masa depan.

“Mungkin sebelum bersara, saya mahukan kejayaan. Saya mahu layak ke Liga Juara-Juara Asia. Itu adalah impian saya,” kata ketua pasukan skuad kebangsaan itu.