Kejayaan JDT, yang dilakukan di hadapan penyokong sendiri turut menyaksikan Harimau Selatan mencatat sejarah baharu dengan muncul sebagai pasukan pertama menjuarai liga utama negara buat kali keempat berturut-turut.

Lebih manis lagi, kejuaraan kali ini menyaksikan Harimau Selatan menjulang trofi Liga Super baharu yang diperkenalkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) ketika musim masih berbaki dua perlawanan.

Pemain kemudian diarak ke Dataran Bandaran Johor Bahru selepas menjulang piala tersebut di stadium sambil disaksikan lebih 18,000 penonton.

JDT mengesahkan kemenangan mereka selepas menundukkan Kelantan 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru dan kejayaan itu sekali gus meletakkan Kelantan dalam keadaan bahaya apabila semakin menghampiri zon penyingkiran ke Liga Perdana.

Gol-gol JDT dijaringkan S. Kunanlan, Gonzalo Cabrera dan ketua pasukan Safiq Rahim.

Pahang pula memintas Kedah untuk naik ke kedudukan kedua liga selepas menang 3-0 ke atas Sarawak di Stadium Darul Makmur dan kekalahan itu juga hampir memastikan skuad Bujang senang tersingkir daripada saingan Liga Super musim hadapan.

Christie Jayaseelan menjadi wira Tok Gajah apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-27 dan minit ke-41.

Pahang membuka jaringan pada minit ke-23 menerusi R. Kogileswaran yang mudah menolak bola hantaran silang Matheus Alves dari bahagian kiri gawang lawan.

Kedah gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Darul Aman selepas tunduk 1-3 kepada Felda United dan membuatkan skuad Lang Merah tercicir satu anak tangga di belakang Pahang.

Aksi di Stadium Hang Jebat pula menyaksikan tuan rumah Melaka United menundukkan Perak 3-1.

Selangor pula tewas 1-2 kepada PKNS dalam perlawanan di Stadium Selayang.

Pulau Pinang yang sudah pasti tersingkir ke saingan Liga Perdana musim hadapan terus dirundung malang apabila tewas 0-2 kepada T-Team di Stadium Batu Kawan.