Penyertaan defensive midfielder itu ke dalam JDT telah diumumkan menerusi akaun Facebook pasukan itu semalam de­ngan kontrak setahun.

“Southern Tigers berbesar hati mengumumkan bahawa Junior Eldstal telah menandatangani kontrak selama setahun bersama Johor Darul Ta’zim untuk musim 2015,” menurut kenyataan itu.

JDT telah pun memiliki dua pemain defensive midfielder iaitu bekas pemain Kelantan, Shakir Shaari dan pemain kebangsaan Singapura, Hariss Harun.

Kemasukan Eldstal ke dalam skuad itu bakal mewujudkan persaingan sengit kerana pemain itu juga telah menunjukkan kemampuannya sehingga dipanggil untuk menyertai skuad Harimau Muda.

Dia juga pernah berada dalam skuad senior Harimau Malaya ketika pasukan itu dibawah kendalian jurulatih sementara Datuk Ong Kim Swee dalam perlawanan persahabatan dengan Filipina tahun ini.