Beraksi di hadapan kira-kira 14,280 penyokong, skuad Harimau Selatan membuka jaringan menerusi Gonzalo Cabrera pada minit ke-17, namun Ceres tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Fernando Rodriguez menyempurnakan hantaran lintang Jose Porteria dengan menanduk masuk menewaskan penjaga gawang, Farizal Marlias pada minit ke-21.

Empat minit berselang, Bienvenido Maraa On menambah jaringan buat pasukan pelawat apabila rembatan luar kotak yang dilakukan diselamatkan Farizal.

Sebelum tamat masa pertama, JDT menyamakan kedudukan hasil tandukan jarak dekat Safiq Rahim yang memanfaatkan hantaran silang Muhammad Fadzly Mazlan.

Pada babak kedua, Ceres Negros hampir menambah jaringan berpunca daripada kesilapan Dominic Tan apabila bola dalam kawalannya dirampas Porteria, namun penyerang itu gagal menewaskan Farizal dalam percubaannya pada minit ke-53.

Ahmad Hazwan Bakri yang tenggelam pada babak awal permainan muncul penyelamat Harimau Selatan apabila menjaringkan gol kemenangan JDT setelah rembatannya yang terkena kaki pertahanan lawan memperdayakan penjaga gol pada minit ke-68.

JDT, juara Piala AFC 2015 akan bertandang ke Stadium Panaad Park, Bacolod City untuk aksi timbal balik pada 31 Mei ini. - UTUSAN ONLINE