Jurulatih JDT, Ismail Ibrahim berkata, kedua-dua faktor itu telah membantu skuad Harimau Selatan untuk bermain secara agresif sepanjang 90 minit perlawanan.

Ujarnya, biarpun tersentak dengan jari­ngan awal kelab dari Myanmar itu pada minit kedua, namun taktikal pihak lawan akhirnya dapat dibaca dan anak buah­nya bangkit mencari gol penya­maan.

“Kami agak panik apabila Magwe menjaringkan gol pendahuluan dalam sepuluh minit pertama perlawanan. Saya mengakui pemain pertahanan agak leka pada awal perlawanan biarpun mereka telah me­ngawasi setiap pemain.

“Pemain kami kemudiannya berjaya mengurangkan tekanan apabila mereka mula dapat membaca taktikal pihak lawan yang bermain secara bertahan dan cuba melakukan serangan yang membuahkan hasil menerusi Gabriel Guerra,” katanya selepas perlawanan.

Ismail berkata, JDT banyak menggunakan pemain sayap kiri dan kanan untuk melakukan serangan dan taktik itu ternyata berhasil.

“Bagi permainan kali ini, serangan melalui sayap kiri dan kanan melalui pemain seperti Fazly Mazlan digunakan untuk mengkucar-kacirkan permainan.

“Usaha tersebut dilihat berhasil apabila JDT menguasai perlawanan dan terus memperoleh gol,” katanya.

Mengulas mengenai kecede­raan yang dialami oleh beberapa pemain utama termasuk Safiq Rahim dan Mohamad Aidil Zafuan, Ismail memberi­tahu mereka akan menjalani pemeriksaan untuk mengetahui tahap kecederaan masing-masing.

“Kita perlu tunggu keputusan untuk melihat sama ada kecederaan Safiq dan Aidil serius atau tidak, kemudian kita akan putuskan sama ada mereka boleh bermain dalam perlawanan menentang Melaka (dalam Liga Super) nanti,” katanya.