Kedua-dua gol tersebut masing-masing dijaringkan oleh Ahmad Hazwan Bakri dan Nazmi Faiz sekali gus membolehkan skuad Harimau Selatan itu mengutip 21 mata selepas mengharungi lapan perlawanan, empat mata di hadapan Pahang.

Bermain di laman sendiri, Harimau Selatan tampak selesa mendominasi permainan pada babak pertama dan kerap melancarkan serangan ke arah kubu lawan bagaimanapun gagal menembusi benteng pertahanan Red Giants.

Gol pertama JDT hadir pada minit ke-60 hasil gerakan Gonzalo Cabrera yang melakukan larian solo menewaskan kawalan dua pertahanan lawan sebelum melorongkan bola kepada Hazwan untuk meledak gol pertamanya pada musim ini.

Nazmi Faiz menambah jaringan buat pasukan tuan rumah selepas menyempurnakan hantaran Safawi Rasid dengan melepaskan rembatan menewaskan penjaga gawang, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khaled pada minit ke-69.

Dalam pada itu, Perak terus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok tiga pasukan terbaik apabila menewaskan Melaka United 2-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka. Skuad kendalian Mehmet Durakovic berada di depan menerusi jaringan penalti Wander Luiz pada minit ke-45 sebelum Gilmar Da Silva mengukuhkan kedudukan pada minit ke-59.

Gol tunggal tuan rumah dijaringkan oleh Zubovich pada minit ke-79.

Sementara itu, PKNP FC menewaskan Kelantan 2-0 di Stadium Negeri Pulau Pinang. Kedua-dua gol PKNP FC dijaringkan oleh Hafiz Ramdan dan Ritus Krjauklis masing-masing pada minit ke-26 dan minit ke-30.

Kuala Lumpur pula menewaskan PKNS FC 2-1 di Stadium Kuala Lumpur. Kedua-dua gol Kuala Lumpur dijaringkan oleh Paulo Josue dan Guilherme De Paula masing-masing pada minit kesembilan dan minit ke-46. Gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Faris Ramli pada minit ke-45. - UTUSAN ONLINE