Kemenangan itu memboleh­kan skuad Harimau Selatan kekal di anak tangga kedua Kumpulan F selepas mengumpul 10 mata, di belakang kelab dari Filipina, Global yang mengumpul 12 mata selepas menewaskan Magwe FC 4-2 dalam aksi berasingan.

Untuk peringkat seterusnya, juara 2015 itu dijadualkan bertemu dengan juara Kumpulan G yang ketika ini perebutannya masih terbuka.

Skuad bimbingan Benjamin Mora itu menguasai hampir 70 pe­ratus penguasaan bola pada babak pertama dan melancarkan serangan bertali arus untuk mendahului 2-0.

JDT tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila pemain tengah Safawi Rasid berjaya menjaringkan gol pembukaan perlawanan selepas menerima hantaran jauh daripada Nazmi Faiz Mansor pada minit kelapan.

Juara Liga Super tiga kali berturut-turut itu tidak menunggu lama untuk menggandakan kedudukan apabila giliran bekas pemain Selangor, Nazmi Faiz meledak gol kedua hasil rembatan dari luar kotak penalti yang berpunca daripada kesilapan penjaga gol tuan rumah Sou Yaty yang keluar terlalu awal tetapi gagal menyepak bola dengan kemas.

Ketika babak pertama hampir tamat, JDT berpeluang untuk menjaringkan gol ketiga setelah pengadil Ammar Mahfoodh menghadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan Boeung Ket Angor menjatuhkan R. Gopinathan.

Bagaimanapun tendangan Azamuddin Akil dapat dibaca oleh Yaty apabila dia merebahkan badan ke kanan untuk menepis bola.

Ketika permainan memasuki minit kecederaan pemain gantian Gabriel Guerra menjaringkan gol ketiga JDT selepas dia bijak meloloskan diri daripada perangkap ofsaid sebelum menewaskan Yaty.

Sementara itu Felda United ter­singkir daripada pertandingan selepas tewas 1-3 kepada kelab dari Singapura, Tampines Ro­vers di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka untuk berada di tempat tercorot Kumpulan G selepas lima perlawanan, dengan hanya me­ngumpul lima mata.