Bagaimanapun, mereka te­lebih dahulu dikejutkan oleh pasukan pelawat yang memperoleh gol sulung perlawanan pada minit kedua menerusi tendangan Kyaw Swar Linn sebelum jaringan Guerra memastikan JDT kekal dengan rekod tanpa kalah di ge­langgang sendiri sejak musim lalu.

Tersentak dengan gol awal itu, skuad Harimau Selatan terus menggandakan asakan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-13 namun tenda­ngan R. Gopinathan tersasar dari gawang gol.

Pasukan tuan rumah akhirnya memperoleh gol penyamaan setelah tendangan padu Guerra dari luar kotak penalti pada minit ke-14 terus menerjah ke gawang gol.

JDT yang terus mengasak berjaya memperoleh beberapa peluang antaranya menerusi Safiq Rahim pada minit ke-25 namun tendangannya berjaya ditangkap kemas penjaga gol Magwe, Kyaw Zin Phyo.

Magwe yang enggan mengalah turut mempunyai peluang menerusi dua percubaan Cho Tun pada minit ke-22 dan 25, namun tendangannya sekadar melewati palang gol meskipun berjaya menembusi tembok pertahanan JDT secara solo.

Masuk babak kedua perlawanan, anak-anak buah Benjamin Mora terus melipatgandakan serangan sebelum Guerra menjaringkan gol keduanya menerusi tandukan pada minit ke-58 sebelum dia menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-78.

Mengikut format terkini Piala AFC musim ini, sebanyak 11 pasukan dari Zon ASEAN membabitkan tiga kumpulan iaitu Kumpulan F, G dan H berentap merebut empat tempat ke pusingan seterusnya.

Sementara itu dalam Kumpulan G, Felda United gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 1-4 kepada Hanoi FC dalam aksi terakhir peringkat kumpulan yang berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi.

Hanoi memperoleh gol menerusi Pham Duc Huy pada minit ke-52 sebelum Nguyen Van Quyet meledak dua gol pada minit ke-78 dan 86 dan Do Hung Dung pada penghujung perlawanan sebelum Felda meraih gol saguhati pada masa kecederaan menerusi sepakan penalti Gaston Cellerino.