Mengikut format terbaharu Piala AFC musim ini, sebanyak sebelas pasukan dari Zon ASEAN melibatkan tiga kumpulan, iaitu kumpulan F, G dan H berentap merebut empat tempat ke pusingan sete­rusnya.

Jurulatih JDT, Ismail Ibrahim berkata, Harimau Selatan tidak mempunyai pilihan selain mengutip tiga mata untuk terus bersaing dalam kempen Piala AFC yang pernah dimenangi pada tahun 2015.

Beliau berkata, JDT akan membariskan skuad terbaik apabila menentang kelab dari Myanmar itu biarpun ada beberapa pemain tidak dapat di­turunkan ekoran belum cergas sepenuhnya dan berdepan penggantungan.

Pada masa ini, Gonzalo Cabrera belum pasti dapat diturunkan kerana tidak mencapai tahap kecergasan sepenuhnya, manakala Fadhli Shas masih dibelenggu kecederaan dan Safawi Rasid menjalani penggantungan satu perlawanan.

"Ini adalah perlawanan penting bagi JDT dan kami akan pastikan pasukan mampu mengutip tiga mata untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Kita tahu mengenai kekuatan pasukan lawan menerusi perlawanan terdahulu yang berkesudahan 1-1. Mereka gemar melakukan serangan menerusi hantaran jauh dan bertindak pantas untuk menghukum lawan

"Menjelang pertemuan ini, barisan pemain sudah bersedia mental dan fizikal setelah mendapatkan rehat secukupnya," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Setakat ini, hanya pasukan Kumpulan H, Home United dari Singapura mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN.

JDT berada pada landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya selaku pasukan tempat kedua terbaik mengatasi pasukan di tempat kedua Kumpulan G, Hanoi FC dari Vietnam.