Dua gol yang dijaringkan oleh Marcos Antonio dan Gonzalo Cabrera pada separuh masa pertama cukup untuk memastikan Harimau Selatan mengutip tiga mata berharga.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Raul Longhi mengutip 41 mata selepas mengharungi 16 perlawanan, melebarkan jarak kedudukan kepada 13 mata mengatasi Perak di tempat kedua.

Pasukan pelawat gagal memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol selepas JDT bermain dengan 10 pemain setelah Aidil Zafuan Abd. Razak dilayangkan kad merah setelah menjatuhkan Tchetche Kipre pada minit ke-71.

JDT hanya memerlukan dua lagi kemenangan ke atas Melaka United dan Perak untuk memastikan Harimau Selatan dinobatkan sebagai juara Liga Super musim ini.

Di Stadium Darul Aman, Kedah berkongsi 27 mata dengan Pahang setelah menewaskan Kuala Lumpur dalam satu lagi perlawanan Liga Super.

Skuad Lang Merah meraih jaringan menerusi Andik Vermansah pada minit ke-13, Akhyar Rashid (m-25) dan Paolo Rangel (m-33), manakala Kuala Lumpur Guilherme de Paula (m-45) serta Syafwan Syahlan (m-88).- UTUSAN ONLINE