Juara Piala AFC 2015 itu diletak dalam Kumpulan H bersama Tampines Rovers atau Geylang FC dari Singapura kemudian wakil dari Indonesia, Persija Jakarta dan Song Lan Nghe An FC dari Vietnam.

Ismail berkata, daripada empat pasukan tersebut, JDT hanya mempunyai rekod pertemuan menentang Tampines Rovers iaitu di peringkat kumpulan pada kejohanan 2016, tetapi tidak pernah berdepan lawan yang lain.

“Undian dalam Kumpulan H ada pasukan dari Indonesia, Singapura dan Vietnam. Saya fikir ini peluang yang baharu untuk JDT pada musim depan kerana kebanyakan pasukan di peringkat kumpulan ini kami tidak pernah bertemu.

“Persija Jakarta pastinya menampilkan corak permainan yang baharu memandangkan mereka sudah setahun tidak menyertai kejohanan ini dan pada tahun ini mereka kembali membuat penampilan. Kami akan meneliti kesemua pasukan ini daripada segi corak permainan dan taktikal.

“Kami tidak boleh menganggap semua pasukan ini mudah kerana mereka sudah ada sasaran masing-masing, malah meletakkan harapan yang tinggi untuk melepasi pusingan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis cabutan undi peringkat kumpulan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE