Skuad bimbingan Pep Guardiola berpeluang menang besar ke atas pasukan yang diambang penyingkiran kendalian Paul Lambert itu, namun 2-0 sudah memadai untuk mereka setelah berkelebihan 16 mata dari tempat kedua Manchester United.

Turun selaku pasukan pelawat, City tidak perlu mengambil masa yang lama untuk berada di depan selepas Silva menjairngkan gol pembukaan seawal minit ke-10, sebelum melengkapkan kemenangan pada minit ke-50.

Silva, yang mana anaknya dilahirkan pramatang pada Januari lalu, terpaksa membahagikan masa antara Manchester dan Sepanyol untuk bersama keluarganya, dan sekali pun dihimpit ujian, perkara tersebut tidak mengganggu fokusnya ketika di atas padang.

“Ketika saya bermain bola, saya akan lupakan segalanya, ia sesuatu yang bagus untuk saya. Kehidupan peribadi saya agak bergelut ketika ini, namun anak saya kini semakin dalam keadaan baik,” ujar Silva.

Jika City menang dalam perlawanan liga seterusnya menentang Everton pada 31 Mac ini, mereka mempunyai peluang untuk mengesahkan kejuaraan musim ini dalam pertembungan setempat Manchester di Stadium Etihad, 8 April depan.

“Semua orang yang berpihak di jersi biru Manchester tahu peluang ini datang hanya sekali seumur hidup, tetapi kita perlu bertenang, kita akan lihat pertembungannya nanti,” kata kapten skuad Citizens Vincent Kompany.- REUTERS