Dia tertampan masuk umpanan lintang pemain Thailand, Sarawut Treephan di Stadium Shah Alam, Selangor untuk ‘menghadiahkan’ emas bertuah kepada pasukan lawan sedangkan skuad bimbingan Alan John Harris itu menguasai permainan.

Terdahulu skuad bawah 23 tahun negara membelasah Brunei 5-0 ketika membuka tirai Kumpulan B, membenam Indonesia 2-1 dan Vietnam 2-0 serta Myanmar 1-0 dalam separuh akhir.

Antara penjaring gol Malaysia ialah Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahyuddin, Irwan Fadzli Idrus, Nizaruddin Yusop yang dianggap skuad belia terbaik di rantau Asia Tenggara yang pernah dibentuk pada awal alaf baharu.

Skuad sepak takraw negara pula seperti di Brunei pada 1999, masih gagal mengikis badi kecundang kepada Thailand apabila tunduk 2-1 dalam perlawanan akhir acara berpasukan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Malah seperti dua tahun sebelumnya, Myanmar kembali membawa igauan ngeri apabila mengejutkan skuad bimbingan Mahat Adnan 2-1 dalam separuh akhir untuk memaksa tuan rumah hanya beroleh gangsa.

Taktik kotor yang melibatkan komisar perlumbaan yang ‘tidur’ dan terlepas pandang pelanggaran peraturan pula meleburkan sasaran enam emas skuad berbasikal Malaysia iaitu dalam acara trek dan dua bagi lebuh raya.

Hanya tiga emas berjaya diraih dengan dua daripadanya menerusi Josiah Ng (keirin dan ujian masa 1 kilometer individu) serta Mohd. Azlan Jamaluddin (180km lepas beramai-ramai.

Josiah didapati disiku Sama’i dari Indonesia dalam saingan 200 meter pecut yang gagal dikesan oleh komisar sehingga memaksa pelumba Malaysia sekadar beroleh perak.

Dia memenangi pusingan pertama dengan catatan 11.571s sebelum diikat lawan 1-1 yang mencatat 11.888s dalam pusingan kedua.

Pelumba wanita negara dalam 31km ujian masa, Noor Asrina Sulaiman pula kerugian masa selepas tersilap jalan dan langsung tidak dibantu oleh penjaga laluan malah dia terpaksa membuat pusingan sejauh 400 meter. Saingan itu dimenangi Vietnam.