Messi melakukan sepakan percuma yang cantik enam minit sebelum waktu sebenar perlawanan berakhir bagi mengatasi keampuhan benteng pertahanan Alaves, yang menghuni kedudukan ke-17 iaitu hanya dua mata daripada zon penyingkiran.

Pemain Alaves, John Guidetti berjaya mengejutkan Camp Nou hasil jaringan pembukaannya pada minit ke-23.

Pasukan pelawat yang mempamerkan aksi kemas di benteng pertahanan akhirnya berjaya ditembusi Luis Suarez hasil sepakan voli setelah menerima hantaran lintang Andres Iniesta untuk membolosi pintu gol Alaves pada minit ke-72, bagi mengikat kedudukan kepada 1-1.

Bintang antarabangsa Argentina, Messi memastikan kemenangan menjadi milik mutlak Catalan dan mengukuhkan kembali kedudukan teratas dengan berkelebihan 11 mata di depan Atletico Madrid, meskipun mereka turut membelasah Las Palmas 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.

Jurulatih Barca, Ernesto Valverdes berkata, dia gembira dengan persembahan Coutinho yang membuat penampilan pertama daripada bangku simpanan sewaktu perlawanan Copa del Rey, Khamis lalu menentang Valencia.

“Pemain bukan mesin yang boleh menyesuaikan diri dalam tempoh yang singkat, ia seperti peralatan baharu.

“Dia telah bermain dengan baik, dan sentiasa meminta bola. Ini merupakan satu langkah ke depan buatnya. Dalam perlawanan sebelum ini, dia beraksi selama 25 minit, kali ini lebih lama lagi, dia akan menyesuaikan dirinya secara perlahan-lahan,” kata Valverde. - AFP