Jaringan kedua Messi itu menyaksikan dia merekodkan gol ke-500 peribadinya untuk Barcelona dan melonjakkan kedudukan The Catalan ke anak tangga teratas walaupun Real masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

“Bagi saya dia (Messi) adalah pemain terbaik dalam sejarah dan saya telah melihat banyak perlawanan bola sepak.

“Dalam bola sepak moden apabila semua orang secara taktikal dan fizikalnya adalah bagus, namun dia masih seorang pemain yang berbeza. Hakikatnya gol ke-500 telah dijaringkan oleh dia dan menunjukkan kita semua sebagai peminat Barca bernasib baik mempunyai Messi bersama kelab ini,” kata Enrique.

Ledakan Messi pada masa tambahan menyaksikan dendam Barca terbalas selepas mengalami kekecewaan ketika pertembungan Disember tahun lalu apabila kemenangan yang hampir pasti menjadi milik mereka dinafikan menerusi jaringan penyamaan Sergio Ramos untuk keputusan 1-1 ketika itu.

“Adalah sesuatu yang menakjubkan untuk kita menang pada minit ke-92 yang biasanya dilakukan oleh pesaing kita namun itu juga menjadi kegemaran kami untuk melakukannya.

“Untuk menjaringkan gol pada minit ke-92...itu satu suntikan keyakinan yang besar,” jelasnya yang akan meninggalkan kelab itu pada akhir musim ini.

Dalam perlawanan semalam, tuan rumah berada di depan seawal minit ke-28 hasil jaringan Casemiro, namun Messi menamatkan kemarau tiga tahun tanpa jaringan menentang Real apabila memadamkan jaringan pembukaan itu dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-33.

Ivan Rakitic meledak gol kedua pelawat pada minit ke-73 untuk mendahului 2-1 dan Barca dilihat berada dalam kedudukan terbaik untuk menang apabila kapten Real, Ramos dilayangkan kad merah kerana mengasari Messi.

Namun, empat minit sebelum wisel penamat, pemain gantian James Rodriguez menyelamatkan Real apabila kembali menyamakan kedudukan 2-2, namun hanya untuk seketika.

Ketika perlawanan hampir tamat, Messi dengan tenang melakukan sentuhan terakhir untuk menjaringkan gol ketiga pada waktu kecederaan sekali gus menghidupkan semula peluang Barca memburu gelaran La Liga untuk kali ketiga berturut-turut. – AFP