Rembatan cantik yang disempurnakan Willian selepas 62 minit permainan berlangsung meletakkan Chelsea di depan, setelah percubaannya pada separuh masa pertama mengenai palang gol.

Bagaimanapun, hanya disebabkan sedikit kecuaian telah membuka laluan kepada Andres Iniesta memintas hantaran Andreas Christensen dan bergandingan dengan Messi bagi menyumbat gol penyamaan buat Barca 15 minit sebelum waktu sebenar perlawanan tamat.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu perlu menjaringkan gol apabila bertandang ke Camp Nou pada 14 Mac ini, bagi mencerahkan peluang untuk ke peringkat lapan terbaik.

“Willian berpeluang menjaringkan hatrik, tetapi kami pulang dengan perasaan sedih kerana persembahan yang mengagumkan masih gagal mendapatkan satu keputusan yang hebat.

“Kami perlu melancarkan serangan apabila bermain di sana nanti dan menjaringkan gol kerana jika kami bertahan sepanjang 90 minit di Nou Camp, ia seperti misi membunuh diri. Kami perlu bermain mengikut cara kami,” kata pemain tengah Chelsea, Cesc Fabregas kepada BT Sport.

Selepas sembilan tahun berlalu, menerusi jaringan kontroversi pada minit terakhir permainan di Stamford Bridge yang melayakkan Barca ke perlawanan akhir, kali ini peranan Iniesta dan Messi bertukar pula apabila pemain Sepanyol itu bertanggungjawab melakukan hantaran, manakala Messi menjaringkan gol.

“Mereka merupakan salah sebuah pasukan terbaik di Eropah. Mereka memiliki pemain-pemain hebat dan ini Liga Juara-Juara. Dalam pertandingan ini sebarang kesilapan akan memberikan risiko kepada anda.

“Saya fikir pertemuan ini pasti berlangsung berbeza di laman sendiri. Beraksi di depan penyokong dan di padang sendiri,” kata Iniesta kepada TV3. - AFP