Bintang Perancis itu meledak gol menerusi rembatan voli kaki kiri pada minit ke-73 selepas percubaan Saul Niguez melantun ke arahnya dan sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah Atletico kepada 12 perlawanan.

Skuad bimbingan Diego Simeone itu ketika ini memiliki kelebihan tiga mata ke atas penghuni tangga keempat, Sevilla dengan 68 mata manakala Espanyol kekal di kedudukan kesembilan apabila mengumpul 49 mata.

Pengendali dari Argentina itu memuji aksi ditunjukkan pemainnya selepas seminggu mereka mengesahkan tempat ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam empat musim.

Sementara itu, Sporting Gijon terlepas peluang bagi menyelamatkan diri daripada zon penyingkiran apabila membiarkan gawang mereka dibolosi dua kali pada lewat perlawanan untuk mencatat keputusan seri 2-2 dengan Osasuna.

Sporting ketika ini ketinggalan empat mata di belakang penghuni keempat terbawah liga, Leganes yang tewas 1-2 kepada Villareal dengan berbaki lima perlawanan manakala Osasuna sembilan mata untuk kembali ke zon selamat. – REUTERS