Marcos Alonso menjaringkan gol keduanya pada dua minit terakhir permainan di Wembley untuk juara Liga Perdana Inggeris itu menang 2-1.

Conte melakukan kejutan taktikal apabila meletakan David Luiz di bahagian tengah bergandingan dengan N’Golo Kante dan Bakayoko, yang tidak diduga berupaya beraksi 90 minit walaupun tidak begitu cergas akibat kecederaan lutut.

Luiz dan Bakayoko meraih pujian pengurus dari Itali itu setelah Blues kalah dalam perlawanan pembukaan liga kepada Burnley di tempat sendiri minggu lalu.

“Ia prestasi yang hebat daripada David. Dia beraksi cukup berpengalaman, perwatakan yang hebat dan dia patut dicontohi lain-lain pemain.

“Jangan lupa, kami beraksi dengan empat pemain baharu berbanding musim lalu.

“Apabila kami menukar dua daripada tiga pemain pertahanan, menukar David Luiz dan Gary Cahill dan menggantikannya dengan pemain muda seperti Andreas Christensen dan kemudiannya Antonio Rudiger dalam kemunculan keduanya, ia bukan mudah.

“Di sebalik semua ini, kami mempamerkan keinginan untuk terus menang, tidak hilang keseimbangan dan membuktikan kami adalah juara, ini sangat penting.

“Ini perlawanan pertama buat Baka. Saya bekas pemain, jangan lupa kadang kala semangat membawa anda mengatasi keadaan fizikal walaupun anda tidak cukup cergas,” kata Conte. – AGENSI