Aksi separuh akhir pertama Piala AFF antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam pada 7 Disember 2014 dicemari tindakan penyokong tuan rumah membaling objek ke arah penonton lawan, malah ada yang ditendang sehingga me­ngakibatkan kece­deraan.

Rentetan insiden itu, polis memburu 15 individu yang wajah mereka telah disebar kepada umum.

STUART RAMALINGAM
STUART RAMALINGAM 

Sebahagian penyokong Malaysia mengambil inisiatif de­ngan memohon maaf kepada peminat Vietnam ketika bertandang ke Stadium Nasional My Dinh, pada 11 Disember 2014.

Malaysia yang tewas 1-2 di Shah Alam, bangkit di Hanoi untuk mencipta kemenangan agregat 5-3 sebelum tewas agregat 4-3 kepada Thailand di final.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjangkakan, final pertama Malaysia menentang Vietnam di Bukit Jalil, Selasa ini berlangsung panas, dan beliau berharap penyokong Harimau Malaya akan memberi layanan baik kepada peminat Naga Emas.

“FAM telah mengambil langkah proaktif dengan meminta polis menambah anggota.

“Sewaktu menentang Laos, 250 anggota ditugaskan manakala bertemu Thailand jumlah itu ditingkatkan empat kali ganda. Bagi aksi final, ia akan bertambah cuma saya tidak dapat pastikan jumlahnya.

“Pada final nanti, kami juga akan tingkatkan ciri-ciri ke­selamatan dan berdasarkan dua perlawanan menyaksikan stadium kita penuh, saya memuji tahap keselamatan sehingga tidak boleh mencari elemen negatif.

“Terima kasih kepada penyokong. Harap tiada sebarang elemen negatif dalam final nanti.

“Terus beri sokongan secara profesional dan jadi tuan rumah yang baik serta terima keputusan perlawanan seandainya tidak menyebelahi kita,” kata­nya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Stuart berkata sekiranya kejadian 2014 berulang ia akan memberi kesusahan kepada penyokong Harimau Malaya yang ingin bertandang ke Hanoi dalam final pada 15 Disember.

“Saya harap perlawanan berlangsung sempurna kerana jika terjadi apa-apa ia akan memberi risiko kepada penyokong kita yang akan ke Hanoi.

“Apa yang berlaku di Kuala Lumpur pasti memberi kesan terhadap persekitaran di tempat lawan,” katanya lagi.