Hamidin yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, pertemuan menentang Vietnam, Rabu ini penting dan Harimau Malaysia perlu menang jika tidak mahu menempuh laluan sukar.

“Kita tidak boleh tunggu sehingga pertemuan menentang Myanmar pada 26 November ini. Vietnam perlu diberi keutamaan jika mahu layak ke separuh akhir lebih awal.

“Sudah pasti jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) akan menukar strategi dan menurunkan pemain bersesuaian menentang Vietnam. Jika kita dapat letak pemain yang betul dan strategi serta taktikal yang bersesuaian menentang Vietnam, saya fikir kita mampu kalahkan mereka.

“Saya sudah berjumpa pemain dan beritahu bahawa pertemuan Vietnam lebih penting dan tidak boleh menunggu sehingga perlawanan menentang Myanmar.

“Menentang Vietnam ibarat final dan kalau menang dengan Vietnam harapan kita untuk langkah ke separuh akhir cerah.

“Seperti yang kita tahu, rekod sebelum ini kita tidak pernah menang perlawanan pertama tapi syukur kita menang walaupun tidak seperti yang diharapkan tapi cukup untuk kita dapatkan tiga mata sebagai langkah permulaan untuk layak ke separuh akhir,” katanya kepada pemberita di hotel penginapan hari ini.

Dalam pada itu, Hamidin mengakui, jika Malaysia tidak mencapai keputusan positif menentang Vietnam, ia bakal meletakkan skuad kebangsaan dalam tekanan.

“Kalau lihat kepada kutipan mata, Vietnam menang menentang Myanmar tapi kalau menang dengan Vietnam nanti harapan kita cerah kerana kita cuma perlu sekurang-kurangnya seri menentang Myanmar.

“Mungkin Vietnam dan Myanmar bakal menjadikan Kemboja sebagai lubuk mereka mengutip tiga mata berharga dan jika situasi itu berlaku, Harimau Malaysia perlu memperoleh keputusan positif dalam dua aksi kumpulan seterus­nya,” katanya lagi.

Sementara itu, Hamidin turut mengulas mengenai mutu pengadil ketika Malaysia menentang Kemboja semalam yang dilihat menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemain kedua-dua pasukan sehingga mengakibatkan gawang skuad kebangsaan dibolosi.

“Pengadil perlawanan dipilih dari enam negara dan sudah pasti mereka memerlukan sedikit masa untuk ada persefahaman namun mereka ini semua bertaraf tinggi.

“Dalam perlawanan tersebut, pengadil mempunyai kuasa mutlak untuk meneruskan atau memberhentikan permainan tapi penjaga garisan mengangkat bendera dan mengundang kekeliruan dalam kalangan pemain. Namun dalam undang-undang permainan jika wisel tidak ditiup permainan itu boleh diteruskan.

“Saya akan jumpa Datuk Aizuddin Ahmad (Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF)) dan komsioner perlawanan untuk bincangkan sama ada patut buat laporan atau tidak,” katanya.