REZAL ZAMBERY YAHYA

Tambahnya, mungkin kebanyakan pemain-pemain tidak mengetahui saluran terbaik untuk mereka memberitahu tentang perkara ini sekali gus kebanyakan mereka mengambil sikap untuk berdiam diri.

“Pada pandangan saya mereka tidak mengetahui sesiapa perlu dihubungi dan mungkin mempunyai perasaan takut akibat diugut dan sebagainya, saya rasa pada pandangan PFAM, selepas ini pemain-pemain perlu berani kerana tidak ada yang perlu ditakutkan kerana semua tahu perkara ini menyalahi undang-undang.

“Setidak-tidaknya pemain boleh beritahu pengurusan pasukan yang diwakili sebelum dibawa ke tindakan seterusnya. Buat masa sekarang kita tidak menerima sebarang aduan kecuali selepas kes pemain Sarawak.

“Kita ada terima panggilan daripada pemain itu dan telah menasihati dia daripada pelbagai sudut. Kes sudah selesai dan terbukti dia tidak bersalah tetapi kita mengharapkan pemain-pemain tidak terlibat dalam gejala tidak sihat ini,” katanya ketika Majlis Ramah Mesra Bersama Media dan Penaja Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM asiana.my 2018. di sini hari ini.

Sementara itu, bekas pemain Negeri Sembilan itu juga menjelaskan bahawa PFAM tidak akan campur tangan berkenaan sebarang urusan berkaitan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pasukan negeri dari segi undang-undang.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas tentang hukuman yang dikenakan kepada 10 pasukan dalam saingan Liga Malaysia dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM9 juta.

“Sebenarnya kita di PFAM ini tidak campur tangan dalam urusan FMLLP, FAM dan pasukan negeri berkenaan undang-undang dan sebagainya tetapi saya merasakan sudah pastinya FMLLP dengan persatuan negeri sudah mengetahui tentang peraturan sebelum berlangsungnya liga.

“Jika setiap pasukan mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan maka sudah pasti isu seperti ini tidak timbul,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail memberitahu semua pemain yang mempunyai masalah tunggakan gaji dialu-alukan untuk tampil membuat aduan kepada pihaknya bagi menyelesaikan masalah itu bersama-sama.

“Kita di sini mengalukan semua pemain untuk membuat aduan kepada kita... Berhubung tunggakan gaji pemain Sarawak buat masa ini kita belum menerima sebarang laporan daripada pemain.

“Bukan setakat pemain Sarawak sahaja tetapi pemain lain yang menghadapi masalah sama...kita mengharapkan mereka menggunakan saluran PFAM untuk bersama-sama mendapatkan hak mereka,” katanya yang turut memberitahu bahawa Akademi Bola Sepak PFAM di Senawang, Negeri Sembilan akan dilancarkan secara rasminya pada Ahad ini. - UTUSAN ONLINE